Monday, 10 December 2018

UMAT ISLAM MENJADI SEPERTI BUIH DI LAUTAN

Bangkitlah umat Islam. Jangan biarkan musuh-musuh terus menekan dan melakukan sesuatu yang berniat jahat terhadap umat Islam. Bangkit bukan sekadar berhimpun dan membantah, tetapi lakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan keuntungan.

Era dunia kini mementingkan penguasaan ilmu dan ekonomi. Kedua-dua perkara ini perlu dibangkitkan agar umat Islam terus perkasa dan hebat. Apabila menguasai kedua-dua aspek ini, sukar untuk musuh melakukan sesuatu yang buruk kepada umat Islam.

Satu lagi perkara yang perlu diutamakan ialah persaudaran sesama Islam. Setiap orang Islam adalah bersaudara. Justeru, jauhkan sebarang bentuk perbalahan dan persengketaan yang membawa kepada kesan buruk.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah menggambarkan umat di akhir zaman seperti buih.

“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” 

Baginda SAW menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” 

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?” Baginda SAW menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.”(Hadis riwayat Abu Daud).

Hadis di atas memaparkan perkhabaran Rasulullah SAW mengenai keadaan umat Islam di akhir zaman. Menarik untuk diperkatakan di sini bahawa jika diamati hadis yang tertera di atas maka kita akan dapati Rasulullah SAW menyebut “... Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai..” bagi menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang sahabatnya.

Sebagaimana menurut penjelasan Baginda SAW ianya adalah disebabkan oleh sikap umat Islam sendiri yang tidak lagi berpegang teguh kepada jati diri Islam yang tulen. Sebaliknya lebih cenderung kepada sifat terlalu cintakan dunia dan takutkan mati (al-Wahn).

No comments:

Post a Comment