Monday, 10 December 2018

MASIH MENCARI REZEKI KETIKA USIA TUA


Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Surah al-Asr, ayat 1-3).

Ini adalah satu daripada banyak ayat yang berkait rapat bagaimana seharusnya manusia memanfaatkan usia dan masa yang diamanahkan oleh Allah SWT dan tidak ada pengecualiannya kepada setiap hamba-Nya di muka bumi ini.

Apatah lagi, dirasakan masa semakin cepat berlalu dan pergi tanpa menunggu. Maka rugilah mereka yang tidak menghargai salah satu nikmat anugerah Ilahi ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah di `ambang senja’.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah. (Riwayat Tabrani)

Apabila usia tua, ramai beranggapan waktu untuk beribadat dan bermain dengan cucu. Itulah biasa yang dilakukan kebanyakan orang, terutama mereka yang menikmati pencen atau telah mempunyai simpanan yang cukup untuk memenuhi keperluan hidup waktu tua.

Namun, tidak semua bernasib baik. Ada orang masih perlu bekerja dan mencari rezeki biarpun usia telah lanjut. Keperluan harian tidak dapat dipenuhi jika tidak terus mencari rezeki.

Sesungguh soal rezeki itu adalah urusan Allah. Ada yang berkerja dari muda hingga ke usia emas, namun apa yang diperoleh sekadar cukup untuk keperluan semasa. Lalu, selagi hidup mereka masih perlu meneruskan kerja.

Seharusnya, masyarakat perlu memandang kepada golongan ini. Jika mereka masih meneruskan kerja sebagai buruh atau bekerja dengan orang lain, berikan kemudahan untuk mereka. Tenaga dan kemampuan sudah tentu berkurangan. Mereka bukan mengharap ihsan, tetapi berikan ihsan kepada mereka.

Jika mereka membuat perniagaan kecil-kecilan, belilah barang dangangan mereka tanpa banyak soal. Belilah dengan harga yang lebih mahal untuk memberi mereka keuntungan lebih. Atau belilah apa yang mereka jual dan kemudian kembalikan barang itu kepada mereka untuk dijualkan kepada orang lain. Amalan itu bukan sahaja membantu mereka, tetapi juga satu kebajikan yang memberi kita kebaikan.

Namun, ada juga yang terus menerus mencari rezeki biarpun usia telah lanjut, bukan kerana dia tidak memiliki wang yang cukup untuk keperluan hari tua, tetapi dia minat bekerja dan tidak ingin mensia-siakan masa yang diberikan Allah.

Dia bukan tamak kepada harta, sebaliknya dia ingin menjadikan urusan mencari rezeki itu sebagai ibadat. Rezeki yang diperoleh diberikan atau disedekahkan kepada jalan yang mana dia bakal memperoleh keuntungan di akhirat.

Sesungguhnya, ibadat untuk bekalan akhirat bukan hanya ibadat khusus seperti sembahyang dan membaca al-Quran, sebaliknya bekerja juga satu ibadat. Dan, lebih lagi ganjaran pahalanya apabila wang itu disedekahkan kepada yang memerlukan. Jadi, dia beroleh dua pahala ialah bekerja dan bersedekah.

No comments:

Post a Comment