Tuesday, 4 December 2018

PISANG REBUS SEDAP DIMAKAN

Pisang rebus merupakan sejenis makanan berasaskan pisang yang direbus atau dikukus. Menu pisang rebus amat ringkas iaitu hanya merebus pisang dengan dimasukkan sedikit garam. Kalau tidak mahu masukkan garam pun tidak mengapa. Ada juga yang memasukkan dua tiga daun pandan untuk aroma pandan.

Seperti diketahui, pisang banyak jenis atau spesis. Jadi, tidak semua pisang sesuai untuk direbus. Namun, jika hendak direbus juga oklah.

Pisang yang sesuai untuk dimakan sebagai 'pisang rebus' adalah daripada varieti seperti pisang abu (pisang nipah atau pisang kebatu), pisang nangka, pisang lang atau pisang tanduk dan pisang awak (kelat lega). Pisang emas, pisang rastali (kelat keling), pisang berangan dan pisang kapas tidak sesuai untuk direbus.

Pisang rebus biasanya dimakan sebagai menu hidangan pagi. Sedangkan menu pisang goreng pula dimakan waktu petang.

Pisang yang hendak direbus elok yang baru masak. Isinya masih keras atau pejal yang enak dimakan. Kalau terlalu masak akan menyebabkan isinya lembik dan 'masuk air'.

Sebenarnya, cara mengukus lebih baik untuk mengekalkan rasa pisang dan mengekalkan keadaan pisang agar tidak lembik dan 'masuk air'.

Jangka masa untuk merebus atau mengukus pisang tidak perlu lama sekitar 15 - 20 mini sahaja. Jika direbus terlalu lama akan menyebabkan kulit dan isi pisang menjadi kecut.

Apabila pisang yang direbus atau dikukus ini telah masak, angkat dan toskan airnya. Apabila gak sejuk kita boleh ambil dan kupas kulitnya untuk dimakan. Apabila kulit dibuang kita boleh potong isi pisang rebus yang berwarna kekuningan terus untuk dimakan atau dimakan bersama kelapa parut bagi menambahkan perisa sedapnya.

Ada juga yang suka makan pisang rebus dengan mencecah gula pasir atau gula melaka (gula kabung).

Pada masa dahulu, pisang rebus dijadikan bekal ke kebun dan perjalanan. Pisang rebus tidak mudah basi atau rosak. Pisang rebus juga tidak menjadi pilihan semut. Jadi, pisang rebus mudah dibawa. Menariknya, pisang rebus boleh menjadi pembekal tenaga untuk menggantikan nasi.

No comments:

Post a Comment