Saturday, 19 January 2019

AKIBAT MENGATA KEPADA ANAK ORANG


Kerap terjadi kita mengata atau memburuk-burukkan anak orang yang pada pandangan kita tidak baik atau patut dihina. Apakah kita berasa terjamin anak kita atau saudara mara kita sempurna dan tidak seteruk anak orang yang kita katakan itu?

Imam Ibnul Jauzi Al-Baghdadi (wafat 597 H) ialah seorang ulama yang hebat. Beliau telah menulis lebih daripada 2 ribu penulisan dan berdakwah sehingga dua puluh ribu (20 000) orang masuk Islam di tangan beliau dan 1000 orang pula telah bertaubat melalui nasihat beliau. (Siyar A'lam Al-Nubala, Adz-Zahabi)

Namun Allah menguji beliau dengan anak yang derhaka. Diriwayatkan anaknya itu bernama Abu Qasim, menyukai hiburan dan meminum arak serta bergaul dengan orang-orang yang fasik. Disebutkan juga bahawa Abul Qasim ini pernah mencuri kitab-kitab ayahnya (Ibnul Jauzi) lalu menjualnya dengan harga yang murah lalu berhibur dengan wang tersebut.

Anak ulama, anak nabi, anak orang yang soleh pun belum tentu terjamin, apatah lagi anak kita orang yang biasa. Justeru, tutup mulut daripada mencela anak orang apapun sekali perlakuannya.

Kalaupun ada perkataan yang dibicarakan tentang anak itu, biarlah bertujuan untuk mencari kebaikan seperti kata nasihat dan doa menjadi baik.  

Ada sebuah syair dari Imam al-Kisaie yang menyebut: Peliharalah lidahmu, jangan berkata kelak engkau akan diuji. Sesungguhnya bala itu boleh terjadi disebabkan pertuturan (ucapan).

Kita tidak mahu disebabkan mulut dan perkataan kita memberi kesan buruk kepada anak-anak kita sebagai satu kifarah daripada Allah.

No comments:

Post a Comment