Sunday, 6 January 2019

DITEGAH CEMUH CARA GAMBAR TROLL


Media sosial menjadi medan untuk mencemuh dan menghina individu atau sekelompok orang lain. Ada dari kalangan kita yang seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa kita sedari perilaku tersebut sebahagian perbuatan cemuhan yang ditegah agama.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak mencemuh (merendah-rendahkan) puak yang lain…” (Surah al-Hujurat, ayat 11).

Paling ketara yang menjadi cemuhan ialah di kalangan pemimpin, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Pelbagai posting, gambar troll yang muncul menghiasi media sosial.

Apa yang dilakukan kononnya sebagai memperjuangkan kebenaran dan demi untuk kebaikan agama bangsa dan negara. Biarpun apa yang dilakukan itu ada bertujuan kebaikan, Islam tidak membenarkan melakukan cara yang salah.

Walau sejengkel mana sekalipun sikap seseorang itu di pandangan kita, walau serapuh mana pun ucapannya di pendengaran kita, walau sejelek mana sekalipun perasaan kita terhadapnya, tiada kelonggaran buat kita untuk memperlekeh mana-mana individu muslim dengan editan foto atau video yang buruk lagi menghina.

Editan sedemikian hanyalah menambah ‘perisa’ buruk terhadap insan tersebut, sedangkan perbuatan menambah ‘perisa’ yang tidak wujud pada seseorang juga tidak kurang dahsyat akibatnya dari menambah ‘perisa’ dalam agama yang tercinta.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata!” (Surah al-Ahzab, ayat 58).

Lalu barangkali ramai yang akan berguling-guling membacanya. Tidak kurang pula yang akan mencerca dan mengutuk di belakang insan yang dipersendakan itu.

Kesemua ini sama sekali menyanggahi sunnah dan agama yang kita perjuangkan. Bahkan akan memberi impak negatif terhadap seruan dakwah yang kita laungkan, bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Bukanlah sunnah itu sekadar menentang bidaah atau sekadar penampilan. Sikap dan tutur kata juga sebahagian dari tuntutan yang wajib disunnahkan.

Walau pada insan tersebut banyak kekurangan atau kelompongan, agama tetap tidak mengizinkan kita mencalar maruahnya sebagai muslim yang beriman.

Cukuplah dengan memberi fakta dan hujah untuk menyatakan mengenai sesuatu untuk diambil tindakan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment