Saturday, 12 January 2019

WAKAF TEMPAT REHAT


Perkataan wakaf membawa maksud sesuatu yang diberikan atau derma untuk kegunaan orang ramai seperti bangunan wakaf, telaga, tanah, masjid, dan surau. Ia berasal daripada perkataan Arab, Al-Waqf  yang bermaksud “menghentikan” atau “menahan”.

Ertinya, seseorang menghentikan hak miliknya terhadap sesuatu harta dan tidak menggunakannya dengan cara menyerahkan harta itu untuk kegunaan umum. Ia merupakan satu daripada amal jariah yang sangat dituntut oleh Islam.

Menurut kamus Dewan Edisi Keempat 2007, wakaf juga memberi maksud tempat berhenti sebentar dalam bacaan, dan bagi bangunan pula, merupakan tempat persinggahan sebentar untuk berehat atau menanti sesuatu.

Wakaf, yang juga dikenali sebagai gazebo di Kelantan, merupakan sebuah bangunan beratap tanpa dinding. Satu ketika dahulu, ia menjadi tempat persinggahan yang terkenal dalam masyarakat Kelantan terutama masyarakat Melayu, Siam dan Cina Peranakan Kelantan.

Ia berfungsi sebagai tempat pengembara beristirahat dan juga untuk petani melepaskan lelah setelah seharian bekerja di sawah atau ladang. Berhampiran wakaf biasanya digali telaga untuk memudahkan mendapat punca air untuk minum, mandi dan ambil air sembahyang. 

Terdapat beberapa tempat atau kampung di Kelantan yang menggunakan nama wakaf. Antaranya ialah Wakaf Siku, Wakaf Tok Paduka, Wakaf Tok Wali, Wakaf Stan, Wakaf Tukup, Wakaf Tengah, Wakaf Nyior Kembar, Wakaf Berangan dan Wakaf Che Yeh di Kota Bharu.

Wakaf asal yang membawa kepada nama Wakaf Bharu terletak di bahagian selatan stesen kereta api lama Wakaf Bharu. Terdapat juga Kampung Wakaf Merah di Kutan, tidak jauh dari Wakaf Bharu manakala Kampung Wakaf Raja dan Wakaf Berangan pula di Pasir Putih.

Di Terengganu ada nama tempat Wakaf Mempelam, Wakaf Tembesu, Wakaf Che Kapor, Wakaf Kedondong dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment