Setiap hari menanti dengan penuh
harapan agar penantian dan kepayahan ditanggung akan berakhir. Namun, kini
telah masuk hari ke 63 hidup tanpa bekalan air paip. Bermakna setiap hari
terpaksa memunggah air dari tangki yang disediakan oleh Air
Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).
Bermula 20 Mac 2019,
setiap hari ambo tidak gagal untuk memunggah air bagi keperluan harian, kecuali
tiga hari ketika pergi ke Selangor. Di Selangor biarpun dikhabarkan juga sering
mengalami masalah gangguan bekalan air, namun sepanjang berada di sana, ambo
dapat mandi sepuasnya.
Tempoh 63 hari tanpa
bekalan air satu tempoh yang menghuru-harakan. Apa tidaknya kerana dalam tempoh
masa itu, 17 hari adalah bulan Ramadan.
Bayangkan, sebelum sahur
terlebih dahulu kena punggah air. Kalau tidakpun, sebelum tidur pukul 11 malam
kena punggah air. Pernah juga pukul 2.00 pagi kena punggah air apabila bekalan
di rumah habis. Dalam keadaan letih lewat petang menanti waktu berbuka juga
kena punggah air.
Malah, luar dari kebiasaan
apabila berada di masjid berharap agar rasa nak berak supaya boleh guna tandas di
masjid untuk jimat air di rumah. Begitu juga bila pergi ke rumah keluarga akan masuk
ke tandas.
Kurang dua minggu lagi bakal
tiba 1 Syawal yang disambut gembira. Namun, jika keadaan gangguan bekalan air ini
berlanjutan, sudah pasti kemeriahan Aidilfitri akan terganggu.
Semoga AKSB akan melakukan
sesuatu yang dapat menyelesaikan masalah ini.
No comments:
Post a Comment