Pagi tadi sempat bersembang dengan
jiran tentang masalah gangguan bekalan air yag kami alami. Ceritanya, malam
semalam dia tidur lewat kerana ada urusan keluarga yang selesai kira-kira pukul
2.30 pagi. Ketika ingin masuk tidur, anak perempuan yang baru pulang dari kerja
memberitahu air di dalam bekas telah habis.
Tambahnya lagi, terfikir di dalam
benak fikirannya, sama ada pergi memunggah air atau biarkan seluruh ahli
keluarga berdepan detik tiada bekalan air untuk kes terdesak seperti berak.
Memandangkan betapa perlunya air untuk
keluarga, termasuk untuk bersahur nanti, jiran ambo itu mengambil keputusan
menangguhkan dahulu hasrat untuk tidur, dan mula keluar rumah untuk memunggah
air dari tangki besar disediakan oleh Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) yang
terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Berbekalkan dua baldi, jiran ambo
dengan bermotosikal, menuju ke tangki yang telah menjadi lokasi wajibnya sejak
lebih dua bulan lalu. Malam yang gelap dan cuaca sejuk tidak lagi dihiraukan
demi untuk menyediakan bekalan air untuk keluarga yang sepatutnya diterima melalui
saluran paip ke rumahnya.
Kegagalan AKSB menyediakan bekalan air
yang disalurkan ke rumah-rumah dengan kadar tekanan air yang tinggi menyebabkan
bekalan air tidak sampai ke rumahnya dan juga penduduk lain.
Jiran ambo itu terpaksa berulang alik lebih
sepuluh kali untuk memunggah air bagi memenuhkan tong-tong kosong yang ada di rumahnya.
Hampir pukul 3 pagi baharu kerja-kerja memunggah itu selesai.
Bayangkan, pukul 3 pagi seorang bapa memunggah
air untuk keluarganya. Pukul 3 pagi pastinya waktu kita nyenyak tidur dan mimpi
yang indah-indah, termasuk pihak pengurusan AKSB.
No comments:
Post a Comment