Monday, 3 June 2019

UTAMAKAN KUNJUNG JIRAN TERDEKAT DAHULU


Aidilfitri peluang terbaik untuk melakukan kunjung mengunjung bagi mengeratkan persaudaraan dan persahabatan. Bertemu dengan sanak saudara, jiran tetangga dan rakan dengan diiringi saling bermaaf-maafan pada Aidilfitri adalah tuntutan agama.

Pada hari-hari biasa agak sukar untuk kita berkunjung ke rumah seseorang kerana merasakan tidak ada keperluan yang benar-benar penting. Ada juga kerana takut mengganggu tuan rumah yang ada urusan hidup masing-masing.

Justeru, amalan kunjung mengunjung pada Aidilfitri perlu disemarakkan. Jangan ada alasan untuk tidak kunjung mengunjung, melainkan halangan yang memang tidak dapat dielak.

Panduan melakukan kunjungan hendaklah dimulakan dengan jiran paling dekat. Jiran terdekat paling berhak mendapat kunjungan kita lebih awal. Dalam Islam, kiraan kejiranan ialah 40 buah di utara, 40 di selatan, 40 di timur dan 40 buah di barat.

Utamakan dahulu jiran yang dekat, sebelum melawat rakan yang tinggal jauh. Ketika ziarah tidak perlu duduk atau berbual lama-lama. Cukup dengan bersua muka dan bertanya khabar secara ringkas.

Semasa berkunjung tidak perlu makan banyak setiap lokasi atau rumah yang dikunjungi. Cukuplah sekadar mengambil rasa atau menjamah sedikit makanan yang dihidangkan.

Masih banyak rumah yang perlu dikunjungi. Kalau setiap rumah mengambil masa panjang dan makan banyak, sudah pasti tidak banyak yang dapat dikunjungi.

Kalau makan banyak setiap rumah, kita akan cepat letih dan rasa tidak selesa. Ini kerana tubuh kita sudah terbiasa tidak makan pada siang hari sepanjang Ramadan. Sistem penghadaman akan 'terkejut' dengan kehadiran banyak makanan dalam perut.

No comments:

Post a Comment