Ketika menyambut kemeriahan
Aidilfitri, jangan pula melupai nasib golongan fakir dan miskin, atau mereka
yang tidak mempunyai tempat menumpang kasih seperti anak yatim, mualaf dan perantau.
Golongan ini juga ingin menikmati kemeriahan sepertimana orang lain.
Utamakan juga kunjungan melawat
mereka yang terlantar sakit sama ada di hospital maupun di rumah. Mereka ini
sudah tentu amat mengharapkan kunjungan orang lain memandangkan dia sendiri
tidak mampu untuk berkunjung ke tempat lain.
Kunjungan ke rumah golongan miskin
elok dibawa bersama-sama kuih muih untuk mereka, selain sumbangan lain seperti
barang keperluan harian dan wang.
Semua Muslim adalah bersaudara yang
perlu dihubungkan dengan silaturahim dan berkasih sayang. Tidak ada individu
Muslim yang dianggap hidup sebatang kara di dunia ini. Kegembiraan menyambut
Aidilfitri dikongsi dengan seluruh umat Islam tanpa mengira kedudukan,
kekayaan, asal keturunan maupun usia.
Bagi golongan fakir dan miskin,
tidak ada yang lebih bermakna dan mengembirakan jika ada orang yang sudi
menghulurkan sedekah berupa wang atau barang keperluan ketika sambutan hari
penuh kegembiraan ini.
Bantuan yang diterima sudah tentu
dapat menceriakan sambutan dan membantu meringankan beban hidup yang dialami
selama ini. Banyak orang merasakan sambutan Aidilfitri tidak membawa apa-apa
erti memandangkan keadaan yang dilalui tidak berbeza berbanding hari-hari
biasa.
Antara suruhan Rasulullah ialah bagi
yang mampu hendaklah mengkayakan golongan fakir dan miskin pada hari
Aidilfitri.
Mengkayakan di sini bermaksud
memenuhi keperluan golongan itu dari segi makanan, minuman dan pakaian yang
lebih baik daripada biasa. Golongan fakir dan miskin menjadi kaya pada
Aidilfitri atas sikap kemurahan golongan yang mampu.
Pada hari raya, golongan kaya
berkongsi kegembiraan dengan golongan fakir dan miskin. Sesungguhnya kasih
sayang adalah antara tanda kesempurnaan iman.
No comments:
Post a Comment