Friday 19 July 2019

SAFARI DI MALAYSIA LIHAT BINATANG BUAS

Taman safari bermaksud kawasan tanah yang luas dan berkepung tempat binatang buas hidup berkeliaran bebas, dan boleh dikunjungi orang ramai yang menaiki kenderaan dalam kawasan itu (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Taman Safari sering dikaitkan dengan negara-negara di Afrika. Kawasan yang luas didiami pelbagai jenis binatang buas. Binatang yang tinggal di situ membantuk rantaian makanan secara semulajadi. Aksi mencari mangsa dan menjadi mangsa sering mendapat buruan lensa kamera.

Apa yang berlaku di negara-negara Afrika dapat dinikmati seketika di negara kita apabila dua ekor harimau 'jinak' masuk kampung.

Peristiwa ini berlaku di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada 18 Julai 2019.

Sepasang harimau belang tersesat dan berkeliaran di kampung berkenaan sejak malam hingga kira-kira pukul 5.30 petang sebelum dihalau penduduk kampung masuk ke hutan.

Harimau yang kelihatan kelaparan itu tidak bertindak agresif dan penduduk kampung berjaya menghalaunya ke hutan semula. Harimau itu seakan-akan tidak mempedulikan kehadiran manusia yang ramai berhampirannya.

Bagaimanapun ada penduduk lintang pukang lari selepas melihat harimau itu berkeliaran.

Pemandu kenderaan yang melalui kawasan itu berpeluang menikmati suasana safari apabila memberhentikan kenderaan masing-masing dan sempat merakamkan gambar harimau yang 'jinak'.

Penududuk mendakwa, kegiatan pembalakan dan pelombongan biji besi di Hutan Simpan kampung berkenaan punca habitat haiwan itu terjejas.

Berdasarkan pemerhatian kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, berdasarkan kesan tapak kaki mendapati haiwan liar terbabit telah kembali ke habitatnya di hutan berhampiran. 

No comments:

Post a Comment