Friday, 2 August 2019

TERBELI BUAH ISI TIDAK ELOK


Kemahiran atau pengalaman mengagak kualiti isi di dalam buah memang penting agar tidak terbeli buah yang isinya tidak seperti diharapkan.

Ramai pembeli berasa tidak puas hati dan tertipu apabila buah yang dibeli dikopek atau dibelah, isi yang ada di dalamnya amat mengecewakan.

Sudahlah harga mahal, niat di hati hendak makan buah kegemaran tidak tertunai. Lebih malang lagi jika melibatkah kehendak seisi keluarga termasuk anak-anak kecil.

Sebab itu, pembeli kena berhati-hati agar tidak tertipu. Kalau tidak yakin dengan keadaan isinya, elok diminta ditebukkan lubang kecil untuk melihat isi di dalam. Lebih 'yakin' lagi jika dimakan terus di kedai menjual. Tidak perlu buat balik ke rumah.

Kita tidak salahkan penjual jika mereka juga tidak dapat menduga keadaan isi buah. Namun, ada penjual yang mengambil kesempatan kepada pembeli 'jahil' mengenai keadaan buah dengan memilih buah yang tidak berkualiti.

Atau, mereka lepas tangan dengan menyuruh pembeli memilih sendiri buah itu. Apabila dipilih oleh pembeli, penjual sekadar berdiam diri biarpun mengetahui atau dapat menduga bahawa isi buah yang dipilih pembeli itu sebenarnya tidak elok.

Sikap penjual itu dianggap tidak jujur dengan pembeli. Biarpun pembeli sendiri memilih buah itu, sepatutnya penjual menjelaskan keadaan buah itu.

Penjual sepatutnya awal-awal lagi mengasingkan buah berkualiti dan tidak berkualiti. Harga buah dua kategori itu mesti berbeza. Jadi, jika pembeli memilih buah tidak berkualiti kerana harga lebih murah atau atas sebab lain, maka itu halal dari segi kaedah hukum jual beli.

Penjual perlu jujur dalam urusan jual beli bagi memastikan hasil keuntungan yang diperoleh itu halal.

No comments:

Post a Comment