Apa
perbezaan otak dan akal? Ada orang guna otak, tetapi tidak guna akal. Ini
menunjukkan otak dan akal adalah berbeza.
Definisi
otak mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah organ di bahagian atas kepala, yang
mengawal pemikiran dan perasaan. Manakala akal pula kekuatan otak untuk
menimbangkan atau untuk memikirkan sesuatu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Otak
bukan sahaja terdapat pada manusia, bahkan haiwan juga ada otak. Namun, akal
tidak ada pada haiwan.
Sebab
itu, haiwan yang hanya mempunyai otak tidak mengalami peningkatan hidup. Dari
dahulu sehingga sekarang, kehidupan haiwan tidak mengalami kemajuan.
Haiwan
menggunakan otak sekadar melakukan perkara asas yang perlu untuk hidup seperti
makan, minum, tindakan spontan terhadap persekitaran dan nafsu.
Sebaliknya,
akal yang menentukan nilai hidup manusia. Sebab itu manusia perlu sentiasa
menggunakan akal dan meningkatkan kemampuannya. Jika berdepan dengan sesuatu
situasi, jangan sekadar menggunakan otak, tetapi gunakan akal.
Menggunakan
akal tidak menyebabkan ia haus atau kekurangan, sebaliknya ia menjadi lebih
berakal. Orang bijak pandai sentiasa berfikir untuk meningkatkan kemampuan
akalnya.
Banyak
ayat al-Quran dan hadis menyuruh manusia menggunakan akal atau berfikir. Firman
Allah bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal.” - (Surah al-Anam,
ayat 32).
Firman-Nya
dalam surah Yasin ayat 68 bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memikirkannya?”
Dalam surah adz-Dzariyat ayat 21 firman Allah bermaksud: “Apakah kamu tidak
perhatikan.”
Ayat-ayat
tersebut secara jelas menyuruh manusia menggunakan akal. Maknanya, sesiapa
tidak menggunakan akal sebenarnya menolak anugerah dan perintah Allah.
Hal
ini perlu sentiasa diberikan ingatan memandangkan fitrah manusia mudah lupa dan
lalai. Malah, perkataan manusia dalam kalimah Arab ‘insaan’ membawa erti lalai
atau lupa.
Kehidupan
ini akan benar-benar bermakna sekiranya kita menggunakan akal pada tingkat
maksimun. Sesiapa menggunakan akal, bermakna mendampingi ajaran Rasulullah yang
sentiasa mementingkan konsep berfikir, mencari kebenaran dan meningkatkan
kebaikan.
Untuk
mencari kekuatan akal, kita perlu sentiasa melihat dalam diri sendiri. Sikap
muhasabah diri dapat mengingatkan kita arah tujuan sebenar hidup ini. Sesiapa
tidak menggunakan kebijaksanaan akal bermakna menolak kurniaan Allah.
Orang
tidak menggunakan akal mudah menjadi mangsa kepada orang cerdik. Orang tidak
menggunakan akal juga mudah dikuasai oleh nafsu buruk.
No comments:
Post a Comment